Friday, 25 February 2011

Teknik Pelaburan Emas

Sebelum ini saya ada menjelaskan sedikit maklumat tentang teknik menyimpan emas. Sebagai kesinambungan bagi topik tersebut, di sini saya maklumkan serba sedikit teknik-teknik membuat pelaburan menggunakan emas. Dikalangan kita mungkin ramai yang menyimpan dan mengumpul emas tetapi tidak tahu bagaimana untuk menggandakan emas tersebut.

Kebanyakannya hanya menunggu harga emas tinggi kemudian baru bercadang untuk menjualnya. Kebanyakannya juga sangat sayang untuk menjual emas walau pun nilai emas tersebut telah mencapai harga yang tinggi. Jadi bagaimanakah caranya untuk menambahkan emas atau mendapatkan hasil daripada emas daripada emas sedia ada? Disini saya cuba sampaikan beberapa teknik yang difikirkan sesuai jika diaplikasikan. Walaubagaimana pun perlu diingat kepada pembaca, sebelum mengikut teknik-teknik ini, pertimbangan dan ilmu yang cukup sangat-sangat diperlukan bagi mengelakkan risiko dan kerugian.

Mengandakan Emas

Kebanyakan kita pasti sukar untuk mengeluarkan modal yang besar untuk menambah emas. Masalah ini boleh di atasi dengan menggunakan kemudahan pinjaman Al-Rahnu. Bagaimanakah caranya?

  1. Gunakan emas sedia ada, Tidak memerlukan banyak dokumen cuma perlu bawa kad pengenalan dan emas sahaja. Antara agensi yang menyediakan perkhidmatan Al-Rahnu adalah Bank Rakyat dan Agro Bank.
  2. Anda akan dapat 60%-70% dari nilai emas sedia ada dari pinjaman Al-Rahnu.
  3. Daripada pinjaman yang anda perolehi, bolehlah dijadikan modal untuk menambahkan emas anda.
Contoh pengiraan:
50 gram emas dipajakkan anda akan dapat membeli 30 gram lagi emas (berdasarkan pengiraan 60-70% berat emas). Walaubagaimana pun perlu diingatkan bahawa harga emas fizikal dan nilai emas yang dipajak berbeza. Oleh itu pengiraan secara terperinci perlu dibuat.


Bilakah masa yang paling sesuai?
Bagi saya, masa yang paling sesuai ialah pada masa harga emas dikedudukan paling minimum/rendah dalam pasaran. Walau pun nilai pajakan yang diperolehi adalah rendah, tetapi nilai untuk membeli juga adalah rendah pada ketika itu.

Rasionalnya di sini, harga emas pasti akan naik dari kedudukan terendah tersebut. Bila harga emas berada pada kedudukan tertinggi, pasti anda akan dapat menjana keuntungan. Teknik ini amat sesuai diguna pakai jika anda seorang peniaga emas atau menyimpan emas yang berminat untuk menjualnya pada masa akan datang.

Bagaimana dapat untung?
Dengan modal yang sedikit anda dapat memiliki emas yang banyak melalui kemudahan pinjaman Al-Rahnu. Seperti contoh di atas, dengan 50g emas, anda akan dapat tambah 30g emas, kaedah yang sama boleh diulang untuk mendapatkan 20g emas lagi. Jadi emas anda kini menjadi 100g.
Apabila harga emas melonjak naik, anda jual emas yang ada ditangan dan hasil jualan tersebut anda tebus semula emas yang dipajak satu persatu. Dengan teknik tersebut anda akan dapat gandakan keuntungan dengan modal 50g emas.

Perkara yang perlu diambil perhatian!

    1. Pastikan anda membeli emas dalam nilai yang kecil supaya mudah anda menebus dan menjualnya semula. Sebagai contoh bagi 50g emas, nilai yang sesuai dibeli adalah 5 keping emas seberat 10g. Bagi 100g emas, nilai yang paling sesuai dibeli adalah 5 keping emas seberat 20g.
    2. Pastikan hasil pajak yang diperolehi anda tukarkan semula dengan emas. Jika anda tersilap langkah ini, tidak mustahil anda akan kehilangan semua emas yang dipajak.
    3. Pastikan anda mampu untuk membayar semula pinjaman tersebut berserta upah simpan dalam tempoh yang ditetapkan.
    Mendapatkan Keuntungan Daripada Emas Tanpa Kehilangan Nilainya.

    Teknik ini lebih menjurus kepada pelaburan wang dimana emas disandarkan 100% kepada nilai wang semasa. Teknik ini seperti pelaburan yang menggunakan pelaburan pokok. Bagaimanakah caranya?

    1. Anda perlu membeli emas dalam nilai yang kecil cthnya: dinar emas, syiling emas, gold bar 5 gram.
    2. Beli emas semasa nilai terendah.
    3. Apabila emas mencapai satu tahap yang menguntungkan, anda jual bahagian untung tersebut.
    Contoh pengiraan:
    Anda beli 10 keping dinar emas pada harga RM600. Jadi modal yang telah anda keluarkan adalah 6000. Tunggu sehingga 10 keping dinar emas tersebut menjadi RM6600 atau lebih, baru anda jual sekeping dinar emas. Pada masa tersebut anda telah mendapat untung sebanyak RM600!

    Walau pun dinar anda telah kurang satu tetapi nilai dinar yang disimpan masih lagi bernilai RM6000 iaitu sama seperti nilai modal yang anda keluarkan pada awalnya.

    Teruskan teknik ini jika anda mendapat peluang untuk membeli pada harga yang rendah. Teknik ini tiada risiko dan menguntungkan.

    Mendapatkan Keuntungan Daripada Emas Tanpa Kehilangannya

    Teknik ini sangat sesuai bagi mereka yang menyimpan emas yang mempunyai nilai-nilai yang tersendiri. Kebanyakan daripada penyimpan emas jenis ini sangat sayang untuk menjual emas tersebut. Contohnya emas peninggalan keluarga, pemberian dari seseorang yang istimewa atau emas yang hendak untuk diturunkan kepada anak-anak. Bagi mereka yang berfikiran perniagaan, simpanan seperti ini tidak menguntungkan walau pun emas yang disimpan mempunyai nilai yang semakin tinggi kerana penyimpan tidak dapat sebarang kelebihan daripada emas tersebut. Simpanan seperti ini mungkin juga dianggap sebagai membebankan dan berisiko. Oleh itu disini saya cadangkan satu teknik yang dirasakan sesuai. Walaubagaimana pun diingatkan sekali lagi, pertimbangan yang bijak dan ilmu yang cukup sangat-sangat diperlukan. Bagaimanakah caranya?

    1. Anda perlu menyimpan emas anda ke dalam Al-Rahnu apabila harga emas berada pada kedudukan yang terendah.
    2. Wang pinjaman yang anda perolehi anda pindahkan ke bank yang menyediakan perkhidmatan Gold Saving Account.
    3. Biarkan wang simpanan anda di dalam Gold Saving Account sehingga mencapai harga tertinggi dan keluarkan sebahagian daripada keuntungan tersebut bagi menebus semula emas anda.
    4. Ulang langkah tersebut pada masa yang sesuai dan jika dirasakan perlu.
    5. Selain daripada menyimpan wang pinjaman al-rahnu ke dalam Gold Saving Account, membeli emas fizikal juga adalah teknik yang baik.
    Perkara yang perlu diambil perhatian!
    Pastikan keuntungan yang diperolehi dapat menampung kos upah simpan yang ditetapkan oleh pihak bank. Pengiraan yang teliti sangat penting sebelum membuat pengeluaran dalam tempoh masa yang ditetapkan. Untuk mengurangkan risiko, cari bank yang menyediakan kadar spread yang paling minimum.

    Kelebihan teknik ini:
    Emas yang anda simpan tidak lagi menjadi beban kerana keselamatannya kini lebih terjamin dalam masa yang sama anda boleh mendapatkan keuntungan daripada simpanan tersebut.


    Sekian sahaja yang dapat saya kongsikan pada kali ini, jika ada teknik-teknik lain yang dirasakan sesuai akan saya maklumkan disini. Bagi kepada sesiapa yang berminat memulakan pelaburan emas, boleh hubungi saya. Saya bersediakan untuk memberi khidmat nasihat dan panduan secara PERCUMA sehingga anda berjaya menjanakan keuntungan. Terima kasih.

    No comments:

    Post a Comment